Friday, August 28, 2009

Runtuhnya Iman di Malaysia selepas Tragedi Natrah

Natrah atau nama sebenanya Nadra atau Maria Huberdina Bertha Hertogh telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 9 Julai lalu di Belanda. Saya tidaklah mengetahui kisah sebenar mengenai Natrah. Apabila terlihat muka depan majalah Al-Islam keluaran September 2009, terdetik di hati untuk membelinya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai isu Natrah.

Natrah merupakan anak kepada seorang tentera Belanda. Ayahnya dijatuhkan hukuman penjara oleh tentera Jepun. Selepas itu Natrah telah dibela oleh seorang wanita dari Tanah Melayu yang dikenali sebagai mak cik Aminah. Mak cik Aminah telah membawa pulang Natrah ke Kemaman, Terengganu.

Di Kemaman. Natrah telah diasuh dengan persekitaran masyarakat melayu. Beliau juga telah diIslamkan di sini. Kehidupan Natrah di Kemaman aman dan tenteram sehinggalah mahkamah telah menjatuhkan hukuman agar Natrah dipulangkan ke Belanda dan diKristiankan semula. Dek kerana terlalu menyayangi ibu angkatnya, Natrah enggan pulang ke Belanda untuk diKristiankan semula. Natrah terlalu menyayangi ibu angkatnya, mak cik Aminah.

Setelah hukuman ini dijatuhkan, rakyat Tanah Melayu ketika itu melakukan rusuhan secara besar-besaran untuk membantah sekeras-kerasnya hukuman yang telah dijatuhkan kepada Natrah. Mereka sebagai penganut agama Islam tidak rela melihat saudara seagama mereka dimurtadkan dengan sewenang-wenangnya. Mereka sanggup menggadaikan nyawa mereka demi harga sebuah diri manusia yang bergelar Islam. Rusuhan secara besar-besaran ini telah mengorbankan 18 orang Melayu, 173 tercedera manakala berates-ratus dipenjarakan kerana mengadakan rusuhan. Ini telah menunjukkan bahawa, masyarakat Melayu amat menyayangi agama Islam daripada dihina sewenang-wenangya.

Sewaktu di sebuah gereja di Belanda, ketika menunggu saat untuk diKristiankan semula, Natrah menangis dalam pelukan Puan Rosewita Buang dan meminta dikeluarkan daripada gereja. Natrah tidak rela dirinya diKristiankan semula dan melutut pada patung virgin Mary. Namun, sejarah itu telah berubah pada zaman ini. Ramai muda-mudi yang menganut Islam ingin murtad dengan sewenang-wenangnya. Lihat sahaja pada statistik yang dikeluarkan Majlis Agama di setiap negeri, bilangan yang murtad daripada bukan seorang dua, namun beratus-ratus ribu. Ke manakah hilangya semangat mempertahankan diri daripada dimurtadkan pada masyarakat Melayu di Malaysia kini?

Tanggal 31 Ogos 2009, Malaysia akan mencapai kemerdekaannya yang ke-52. Namun, kita masih tercari-cari apakah faktor sebenar yang membawa kepada runtuhnya iman di dalam diri insan yang bergelar Islam di Malaysia. Ke mana perginya kuasa yang ada pada Sultan untuk memerintah jika masalah murtad masih berleluasa di Malaysia sehingga kini. Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita bermuhasabah semula menilai kelemahan yang ada pada diri kita. Marilah kita saling tegur-menegur antara satu sama lain bagi memelihara kesucian agama Islam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...